Oleh: Kadir Edison
LAWAS: Dua warga emas maut selepas kenderaan jenis Proton Saga dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan batu, dekat sini, sekitar jam 1.30 petang tadi.
Mangsa, Peranchis Nane, 67, dan Raminah Tadam, 69, disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila lori dengan muatan batu terbabit yang dalam perjalanan menuju ke bandar Lawas bertembung dengan kenderaan dinaiki mangsa dari arah bertentangan.
“Ketika kejadian kedua-dua mangsa yang bergerak dari arah Kampung Long Tengoa telah bertembung dengan lori terbabit dan akibat dari pertembungan itu menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit dalam kenderaan dinaiki mereka.
“Anggota terlibat mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dari kenderaan terbabit dengan menggunakan peralatan penyelamatan khas,” katanya menerusi satu kenyataan.
Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian.
Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan punca kemalangan masih dalam siasatan.
Sementara itu pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan susulan kemalangan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.