Tumpuan :
Nasional

2 warga emas korban kelima banjir di Kelantan

Foto hiasan

TUMPAT: Dua kematian akibat lemas di daerah Machang hari ini menjadikan korban banjir seramai lima orang di Kelantan setakat ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata, kedua-dua mangsa adalah lelaki warga emas berusia 72 dan 78 tahun.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dikatakan melihat ternakan mereka di dua lokasi berasingan iaitu Kampung Kuala Sat dan Gelung Gajah.

“Kejadian pertama membabitkan mangsa berusia 72 tahun di Kampung Kuala Sat yang dikatakan melihat ternakan lembunya di parit sebelum ditemukan lemas oleh ahli keluarga jam 8 pagi tadi.

“Kes kedua pula membabitkan mangsa berusia 78 tahun di Kampung Gelang Gajah ketika melihat kambingnya di rakit yang dijadikan tempat perlindungan ternakan itu.

“Mangsa lemas ketika memantau haiwan peliharaan itu di rumah rakit bersebelahan rumahnya dengan menaiki perahu,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Yusoff berkata, pihak berkuasa sudah menasihati keluarga kedua-dua mangsa agar berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) lebih awal namun enggan dipatuhi.

Katanya lagi, ia berikutan sayang untuk meninggalkan ternakan dan sanggup berulang-alik menaiki perahu untuk ke tempat ternakan.

“Kita menasihati orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan berisiko banjir agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini