KULAI: Dua wanita maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka secara berasingan dipercayai dalam satu konvoi terbabas ke laluan bertentangan dalam kejadian di Jalan Gunung Pulai di sini, tengah hari tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Yusof Othman berkata kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu treler Volvo dan motosikal Y15ZR dan Y16ZR yang dinaiki wanita tempatan, masing-masing berusia 36 dan 38 tahun.
Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati cuaca hujan dan permukaan jalan licin.
“Kedua-dua motosikal telah hilang kawalan semasa selekoh Jalan Gunung Pulai dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah treler.”
Mangsa berusia 36 tahun mengalami kecederaan parah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Manakala manga yang berumur 38 tahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini.
Pemandu treller berumur 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Yusof, kenderaan terlibat dibawa ke Puspakom Senai untuk pemeriksaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum ini, tular di media sosial sebuah video berdurasi 31 saat memaparkan dua motosikal terbabit terbabas ketika melalui selekoh jalan ketika hujan.