JASIN: Polis mengesahkan empat wanita yang terbabit kemalangan dengan dua daripada mereka maut apabila kereta dinaiki mangsa terbabas lalu merempuh besi penghadang di Kilometer (KM) 187.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, dekat sini, pagi tadi, adalah penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata dua penumpang di bahagian hadapan dan belakang sebelah kiri kereta jenis Perodua Myvi itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.
Katanya, kedua-dua mangsa terkorban berusia 19 tahun dikenal pasti sebagai Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan, akibat kecederaan parah di kepala.
Beliau berkata, dua lagi mangsa membabitkan pemandu kereta itu, Nur Hanis Suraya Supiyan, 20, serta penumpang belakang sebelah kanan, Azwalidiya Azman, 21, masing-masing cedera di kaki dan luka ringan.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu hanya membabitkan sebuah Perodua Myvi yang terbabas sendiri di lokasi dan tiada kenderaan lain.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dari arah Johor menghala ke Melaka itu terbabas sehingga melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri,” katanya.
Beliau berkata, punca kemalangan dipercayai akibat gagal mengawal kenderaan tetapi siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, mayat dua mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Jasin, untuk bedah siasat, manakala dua lagi yang cedera dirawat di Bahagian Kecemasan, Hospital Melaka.
Terdahulu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dipetik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubungi
Sementara itu, pihak UTeM yang dihubungi belum memberikan sebarang maklum balas, setakat ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.