Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 2 timbalan pendakwa raya, 14 polis ditahan di pusat hiburan, positif dadah 

 

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan dan 14 anggota polis ditahan bersama dua timbalan pendakwa raya ketika disyaki sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Sheikh Ahmad di Seremban, awal pagi tadi.

Mereka ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman kira-kira jam 2.30 pagi.

Berdasarkan laporan polis yang tular di media sosial, hanya seorang daripada yang ditahan disahkan negatif hasil ujian air kencing dijalankan, manakala selebihnya berada di bawah pengaruh dadah termasuk dua timbalan pendakwa raya terbabit.

Semua pegawai dan 14 anggota yang ditahan itu bertugas di pelbagai jabatan termasuk Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Nilai dan Tampin, selain Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seremban serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

Foto hiasan

Sementara dua timbalan pendakwa raya ditahan itu masing-masing bertugas di Shah Alam dan Negeri Sembilan.

Berdasarkan laporan JIPS, semua yang disahkan mereka positif berada di bawah pengaruh dadah jenis Ketamin, Amphetamin dan Methamphetamine.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, mengesahkan serbuan dilakukan JIPS Bukit Aman dengan kerjasama IPK negeri di pusat hiburan terbabit awal pagi tadi.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran terperinci kerana siasatan awal masih dijalankan.

Loading...
Terkini