
KOTA TINGGI: Dua termasuk seorang pelajar Kolej Vokasional Kota Tinggi maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Batu 4, Jalan Kota Tinggi di sini.
Mangsa yang maut adalah Nurasyraf Afif Abdul Ghafar, 20, yang memandu kereta Perodua Kancil dan penumpang kereta Nissan Almera Zainab Abdullah, 68.
Manakala mangsa yang cedera adalah pemandu Nissan Almera, Abas Mokhtar,71.
Difahamkan ketika kejadian, pelajar berkenaan dalam perjalanan dari arah Tenggara menghala ke kolej berkenaan manakala kedua-dua warga emas itu dalam perjalanan arah bertentangan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Shawaluddin Ami Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.02 pagi.
Susulan itu, dua buah jentera dari BBP Kota Tinggi bersama lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati dua buah kereta jenis Nissan Almera dinaiki pasangan suami isteri berusia 71 dan 68 tahun.
“Pemandu lelaki telah dikeluarkan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi menaiki ambulan APM manakala seorang lagi mangsa perempuan dewasa dipercayai telah meninggal dunia.
“Sebuah lagi kereta jenis Perodua Kancil dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun juga telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ujarnya, mangsa yang maut diserahkan kepada polis bagi tindakan selanjutnya.
Polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.