Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
PELABUHAN KLANG: Dua syarikat alat ganti kenderaan yang menjalankan aktiviti penyeludupan kereta dan motosikal terpakai dari Jepun tanpa permit import tumpas, selepas diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam Ops Tengu 2024, 19 November tahun lalu.
Serbuan yang dijalankan pasukan penguatkuasa JKDM Unit II Selangor itu dilakukan di tiga premis berasingan di sekitar Batu Caves, Gombak.
Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail, serbuan itu berjaya merampas tiga kereta import terpakai, 54 motosikal dan 25 motosikal mini import terpakai.
“Hasil semakan mendapati semua kenderaan tidak mempunyai permit import dan dokumen pengimportan yang lain.
“Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM522,526 dan RM674,861 bagi duit serta cukai dengan jumlah RM1.19 juta.” katanya ketika sidang media di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, hari ini.
Selain itu katanya, tiga individu dipercayai pengarah kedua-dua syarikat itu turut ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau turut memaklumkan, pengimportan dagangan adalah tertakluk kepada Permit Import yang dikeluarkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Siasatan awal mendapati semua kenderaan yang dirampas itu dipercayai dibawa masuk dari negara matahari terbit,” tambahnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan hukuman berat terhadap individu yang melindungi, menyimpan atau memiliki barangan tidak berkastam.
Dalam pada itu, pihaknya turut merampas 11,080 barangan elektrik bernilai RM678,000 termasuk cukai menerusi penahanan empat kontena di Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara pada 28 November, 4 dan 10 Disember tahun lalu.
“Rampasan antaranya melibatkan periuk nasi elektrik, ketuhar penggoreng udara dan pengukus (steam air fryer oven).
“Semua barangan yang diikrar sebagai periuk dan pengukus itu didapati tiada Perakuan Kelulusan daripasa Suruhanjaya Tenaga (ST) dan SIRIM Berhad (SIRIM),”
Katanya, kes kini masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.