Oleh: Kadir Edison
KUCHING: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah stesen penyiaran di Sarawak dan seorang suspek wanita direman dua hari bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram, pecah amanah, dan salah guna kuasa.
Majistret Heng Yi Min mengeluarkan perintah reman terhadap kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut sebelum kes itu dirujuk ke mahkamah di ibu negara, esok.
Suspek tiba di Mahkamah Majistret Kuching sekitar jam 9 pagi, diiringi anggota Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman dan turut diwakili peguam bela, Datuk Shankar Ram Asnani.
CEO syarikat penyiaran tersebut ditahan di pejabatnya semalam dalam operasi Op Ragada, selepas pasukan polis Bukit Aman menerima maklumat risikan kewangan mengenai transaksi mencurigakan melibatkan beberapa akaun bank dari 2017 hingga September 2024.
Polis turut merampas, membekukan, dan menyita pelbagai aset dengan anggaran nilai keseluruhan melebihi RM17.4 juta.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan tangkapan membabitkan lima individu, termasuk empat lelaki dan seorang wanita, berusia antara 20 hingga 62 tahun di sekitar Pulau Pinang, Kuching, dan Kuala Lumpur.
“Modus operandi suspek adalah menjalankan aktiviti pengubahan wang haram melalui transaksi kewangan mencurigakan serta terlibat dalam pecah amanah, penipuan tender, dan menganugerahkan tender kepada diri sendiri atau ahli keluarga,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.