comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 2 suspek bunuh Sabari Baharom direman seminggu


Oleh: Selwam Arjunan

SUNGAI PETANI: Dua lelaki direman selama seminggu bagi membantu siasatan kes bunuh pesara Felcra, Sabari Baharom di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Dua lelaki berusia 26 dan 38 tahun itu dibawa menaiki kenderaan polis ke Kompleks Mahkamah Sungai Petani pada jam 9.45 pagi.

Majistret Anis Suraya Ahmad membenarkan permohonan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 17 Oktober.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Kenderaan polis yang dinaiki kedua-dua suspek memasuki kawasan Kompleks Mahkamah Sungai Petani jam 9.45 pagi tadi.

Sebelum ini, media melaporkan Sabari, 62, hilang pada 3 September lalu dipercayai keluar dari rumahnya menaiki kereta Proton Waja.

Bagaimanapun, mangsa gagal dihubungi ahli keluarga serta tidak pulang ke rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Baling sejak dilaporkan hilang.

Kehilangan itu bertambah misteri apabila kereta milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di Kampung Pulau Belantek, Sik.

Ahli keluarga mengesyaki Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun mangsa ke akaun bank milik orang lain dalam tempoh beberapa hari selepas kehilangannya.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, polis menahan dua suspek terbabit pada 27 September bagi membantu siasatan.

Menurut Datuk Fisol, hasil siasatan lanjut, suspek telah membuat pengakuan bahawa tangan mangsa diikat, manakala mulut ditutup menggunakan pita pelekat sebelum mangsa dicampak ke Sungai Padang Terap, dekat Derang, Jitra.

Operasi pencarian telah dilakukan di sepanjang sungai selama tiga hari dari 30 September hingga 2 Oktober melibatkan pelbagai agensi.

Namun, polis memutuskan untuk menghentikan operasi mencari pada 3 Oktober berikutan tidak menemui sebarang petunjuk.

Sebelum ini, dua suspek sama telah pun direman bagi membantu siasatan berhubung kebakaran kereta milik mangsa yang ditemui di Sik, Kedah.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini