ALOR SETAR: Dua sungai di negeri ini sudah melebihi tahap bahaya setakat 2 petang, hari ini berikutan hujan lebat sejak kelmarin.
Berdasarkan Public Infobanjir, Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu mencatatkan bacaan 21.82 meter manakala Sungai Gurun di Kampung Perupok, Yan pula mencatatkan bacaan 3.71 meter.
Sementara itu, Sungai Pendang di Pekan Pendang mencatatkan bacaan melebihi tahap amaran iaitu 2.51 meter dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman di daerah Kota Setar pula sudah melebihi tahap waspada dengan bacaan 2.07 meter.
Keadaan ketika ini hujan masih renyai di Kota Setar dan Kubang Pasu.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Yan melakukan pemantauan di lokasi sungai yang dinaiki air.
“Sebarang kecemasan boleh hubungi APM Yan di talian 011-57509915,” katanya.