Tumpuan :
Nasional

2 stor haram simpan minyak diesel digempur KPDN

Stor penyimpanan minyak diesel yang diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KEMAMAN: Dua buah stor haram menyimpan 69,500 liter minyak diesel tanpa kebenaran pengawal bekalan bernilai RM464,660 diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu.

Diesel itu dirampas dalam dua serbuan berasingan berdekatan Kampung Labohan, Kerteh, kira-kira jam 12.00 tengah hari, semalam.

Dalam serbuan itu sebuah lori tangki dan lapan buah skid tank berisi diesel turut disita.

Agensi itu telah melakukan risikan selama dua minggu sebelum serbuan dilaksanakan.

Pemeriksaan lanjut kedua-dua stor haram tersebut menyimpan minyak disyaki diesel tanpa dokumen kebenaran yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

Stor haram itu dimiliki oleh dua individu berbeza dan berdasarkan maklumat risikan yang diterima, pemilik stor haram ini disyaki telah memindahkan barang kawalan dari satu tempat yang dilesenkan ke suatu tempat yang tidak berlesen atau diluluskan oleh Pengawal Bekalan.

Empat lelaki warga tempatan disyaki pemilik, penjaga stor dan pemandu lori berumur 33 hingga 58 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak
melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 dan kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini