Tumpuan :
Nasional

‘2 serangan di JB dan Nilai ada motif tertentu’ – Razarudin

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.- Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan dua kejadian serangan secara terbuka di tempat awam mempunyai motif tertentu dan bukannya dilakukan secara rambang.

Namun, pada masa ini siasatan secara terperinci masih dijalankan bagi mendapatkan motif sebenar kejadian tembak di Taman Setia Indah, Johor Bahru, tengah hari kelmarin dan serangan di Nilai, Negeri Sembilan, malam kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata selain mengesan pelaku atau suspek, latar belakang mangsa kejadian juga turut diambil kira bagi membantu pihak polis mengenalpasti motif sesuatu kejadian serangan.

“Berdasarkan siasatan awal, kita tidak menolak kemungkinan mangsa ini menjadi sasaran suspek atau kumpulan jenayah tertentu yang ingin membalas dendam atau tidak berpuas hati dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

“Malah, elemen pembabitan sesebuah kumpulan kongsi gelap atau kumpulan jenayah terancang turut diambil kira dalam siasatan yang dijalankan.

“Namun, pada akhirnya, siasatan polis akan tetap tertumpu dan menjurus serta mengesan mereka yang terbabit dalam setiap kesalahan yang dilakukan,” katanya kepada BH hari ini.

Razarudin berkata, polis tidak akan sekali-kali membiarkan situasi ini melarat sehingga boleh mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam.

“Buat masa ini percayalah keadaan dan situasi keselamatan masih terkawal dan kami Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berusaha memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

“Saya tetap yakin dengan keupayaan semua pegawai dan anggota PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dalam mengesan individu atau kumpulan jenayah terancang yang mengganggu keharmonian dan keselamatan masyarakat di negara ini,” katanya.

Dalam kejadian kelmarin, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun maut selepas ditembak ketika sedang menjamu selera di Taman Setia Indah, Johor Bahru.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat memaklumkan, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti suspek dan motif kejadian.

Semalam, empat individu cedera selepas ditetak dengan senjata tajam oleh sekumpulan lelaki bertopeng dalam serangan terbuka di sebuah restoran di Nilai, Negeri Sembilan, pada jam 9.40 malam kelmarin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini