KODIANG: Dua remaja lelaki melecur tahap tiga dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Jalan Changlun, dekat Kampung Ibol, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10.40 pagi tadi turut menyebabkan 10 motosikal dan dua kereta jenis Proton Satria Neo dan Perodua Kancil, terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf berkata, operasi pemadaman membabitkan sepasukan anggota dari BBP Bukit Kayu Hitam dibantu BBP Jitra dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah setingkat yang membabitkan kemusnahan 90 peratus.
“Dua remaja lelaki berusia 15 dan 18 tahun melecur tahap tiga dan dihantar ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Setakat ini punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.