Tumpuan :
Nasional

2 remaja langgar lari warga emas

Kemalangan yang membabitkan seorang wanita warga emas dilanggar sebuah motosikal ketika sedang berjalan kaki di hadapan Masjid Zahir.- FOTO: Ihsan Orang Awam

ALOR SETAR: Seorang wanita warga emas mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan selepas dilanggar sebuah motosikal ketika berjalan kaki di hadapan Masjid Zahir, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu seperti yang ditularkan di media sosial.

Beliau berkata, video kejadian yang tular dipercayai dirakam oleh pengguna jalan raya menerusi kamera hadapan kenderaan yang menunjukkan sebuah motosikal dinaiki dua individu melanggar seorang pejalan kaki di kawasan lintasan pejalan kaki di hadapan Masjid Zahir.

Bagaimanapun, katanya, penunggang dan pembonceng motosikal itu terus beredar sejurus kejadian, dipercayai melarikan diri.

“Berikutan itu, wanita warga emas berusia 65 tahun tersebut membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Kota Setar pada jam 12.06 tengah hari semalam.

“Menurut pengadu, kejadian berlaku pada Khamis, kira-kira jam 9.40 malam sewaktu dia sedang melintas jalan di lintasan pejalan kaki hadapan Masjid Zahir.

“Beberapa kenderaan lain dikatakan berhenti untuk memberi laluan kepadanya, namun secara tiba-tiba, sebuah motosikal datang dan terus melanggarnya, menyebabkan dia terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Siti Nor Salawati berkata, sejurus selepas perlanggaran itu, penunggang serta pembonceng motosikal berkenaan terus beredar meninggalkan mangsa.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

“Pada kira-kira jam 7 petang hari ini, penunggang motosikal, iaitu seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, tampil ke Balai Polis Trafik Kota Setar untuk membuat laporan berkenaan kejadian itu.

“Remaja lelaki itu tidak mempunyai lesen memandu, dan motosikalnya turut disita. Hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat modifikasi pada motosikal berkenaan.

Polis akan mengambil tindakan terhadap pemilik motosikal kerana membenarkan remaja itu menunggang tanpa lesen,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini