MANJUNG: Polis percaya dua rangka manusia termasuk tengkorak yang ditemukan di atas bumbung bangunan sebuah syarikat di sini, semalam adalah mangsa bunuh.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita memaklumkan terjumpa serpihan tulang disyaki tulang manusia jam 10.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis menjumpai dua rangka manusia tanpa jantina dan identiti serta sehelai bendera Perak, dua bungkusan plastik warna merah berisi disyaki tengkorak manusia setiap satu dan satu bilah pisau berhulu plastik hitam.
“Turut ditemui, beberapa potongan pita lekat berwarna hitam, masing-masing cebisan kain bercorak warna-warni, kain bendera Perak, baju kemeja warna putih kotor dan satu sarung bantal warna biru,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Rangka manusia terbabit dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Orang ramai mempunyai maklumat kejadian, diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Asisten Superintenden Azalan Ab karim di talian 019-3927837 untuk membantu siasatan,” katanya.