Tumpuan :
Nasional

2 pusat penyembelihan ayam di Hulu Selangor diserbu

MPHS menyerbu dua pusat penyembelihan ayam di Hulu Selangor menerusi Operasi Tegas, semalam. – FOTO: MPHS/ Facebook

HULU SELANGOR: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyerbu dua pusat penyembelihan ayam di daerah ini menerusi Operasi Tegas, semalam.

Serbuan di dua lokasi berasingan itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dari jam 3 pagi hingga 8 pagi.

Operasi turut membabitkan 17 anggota daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA), Jabatan Penguatkuasaan, serta Jabatan Perancang.

“Di lokasi pertama di Jalan Jenjarum, Bukit Sentosa, premis didapati masih beroperasi walaupun dikenakan arahan penutupan di bawah Seksyen 62, Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MPHS) 2007.

“Susulan pelanggaran itu, tindakan sitaan diambil ke atas peralatan premis, termasuk 11 tong gas, tiga mesin pemprosesan ayam, lima alat penimbang, satu meja keluli dan satu mesin pemotong,” menurut kenyataan MPHS, malam ini.

Sementara itu, pemeriksaan di premis kedua di Jalan KL-Ipoh, berhampiran Kuala Kubu Bharu mendapati operasi penyembelihan telah selesai dan premis berada dalam keadaan bersih. Namun, pemilik didapati tidak memiliki lesen perniagaan yang sah.

“JPSPPA mengarahkan pemilik premis untuk memohon lesen perniagaan serta mendapatkan kebenaran bertulis daripada JAS dan LUAS bagi pengesahan kolam takungan dan pembuangan efluen.

“MPHS akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap premis perniagaan yang beroperasi tanpa lesen serta melanggar arahan pihak berkuasa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini