Tumpuan :
Nasional

2 pusat pemuliaan Al-Quran kendalian JAIP, tampung aktiviti pelupusan Al-Quran

Bongkah abu al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran dikeringkan sebelum dilupuskan ke laut. – FOTO: NSTP

PEKAN: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan membuka kompleks pemuliaan al-Quran di Chenor, Maran, terbesar di Pahang yang mampu melupuskan lebih 500 kilogram (kg) al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran, pada satu-satu masa.

Agensi berkenaan kini hanya memiliki pusat pemuliaan al-Quran di Peramu, Pekan yang hanya mampu melupuskan kira-kira 300kg al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran pada satu-satu masa.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan, berkata dengan adanya dua pusat pemuliaan al-Quran yang dikendalikan sepenuhnya oleh JAIP, aktiviti pelupusan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran dapat berjalan lancar sepanjang tahun.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya terpaksa membayar kepada pihak swasta bagi tujuan melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran dengan dikenakan caj, RM5 sekilogram.

Katanya, JAIP bercadang untuk membina pusat pemuliaan al-Quran di setiap daerah secara berperingkat bagi menampung permintaan terhadap aktiviti pelupusan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang semakin bertambah.

“Selain al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang ditenggelami banjir, pelupusan juga membabitkan kertas peperiksaan mengandungi ayat al-Quran milik sekolah agama negeri yang rosak disebabkan sudah terlalu lama dan pelbagai faktor lain.

“Proses pelupusan dilakukan dengan cara membakar menggunakan insinerator atau relau dengan sumber api daripada gas. Proses membakar mengambil masa antara sejam hingga dua jam sebelum disejukkan selama 24 jam,” katanya dihubungi di sini, semalam.

Noridzuan berkata, proses seterusnya menghasilkan bongkah abu al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak dengan cara membancuh dengan air.

Katanya, bekas plastik digunakan sebagai acuan dan dijemur di bawah cahaya matahari selama tiga hingga enam hari tertakluk kepada keadaan cuaca semasa.

Beliau berkata, bongkah abu al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak dibuang ke beberapa kawasan di perairan negeri ini dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Pahang dan nelayan tempatan.

Katanya, lebih 6,900kg abu al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak berbentuk bongkah dibuang di perairan negeri ini dalam tempoh lima tahun sejak 2017.

“Sudah menjadi tanggungjawab JAIP untuk membantu melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak bagi menjaga kemuliaan al-Quran daripada dibuang di tempat tidak sepatutnya.

Pada 2017 sebanyak 2,100 al-Quran rosak dilupuskan, 2018 (3,877kg) 2020 (1,535kg), 2021 (900kg) dan 2022 (6,000kg). Tahun ini lebih 8,000kg abu al-Quran akan dilupuskan Mei depan.

Bagi membantu melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran milik individu, mereka boleh menghantarnya ke pusat pemuliaan al-Quran JAIP Peramu tanpa dikenakan bayaran. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini