KOTA BHARU: Dua sungai utama di Kelantan melepasi paras amaran setakat pagi ini berikutan hujan lebat yang berterusan.
Menurut portal publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dua sungai berkenaan adalah Sungai Golok di Rantau Panjang dengan bacaan 8.22 meter (m) berbanding paras amaran 8m.
Sungai Semerak di Pasir Puteh juga melebihi paras amaran dengan bacaan 2.35m.
Sementara itu, Sungai Golok di Kuala Jambu melepasi paras berjaga-jaga iaitu dengan bacaan 2.03m.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 80 mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS).
Kesemua mangsa membabitkan 20 keluarga yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor, Bachok, dan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh, Pasir Mas.
Menurut kenyataan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS, susulan amaran hujan berterusan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia serta status aras air sungai diramalkan menaik dan akan melebihi aras bahaya, diramalkan banjir akan berlaku di beberapa lokasi di negeri ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.