Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
SUBANG: Dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa pesakit rakyat Palestin yang cedera, selamat tiba di Pangkalan Udara Subang hari ini.
Pesawat yang berlepas dari Pangkalan Udara Al Maza, Kaherah semalam itu membawa 41 orang pesakit terdiri daripada 20 lelaki dan 21 perempuan.
Kedua-dua pesawat itu mengambil masa 13 jam penerbangan untuk tiba di Malaysia.
Pesawat pertama tiba kira-kira jam 2.30 petang, manakala pesawat kedua tiba 30 minit kemudian.
Sebaik tiba, semua pesakit dibawa ke hospital medan yang didirikan di hangar pangkalan udara berkenaan bagi saringan kesihatan.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tiba di sini kira-kira jam 2.45 petang bagi menyambut kedatangan rakyat Palestin serta semua kru.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.