SHAH ALAM: Dua penuntut universiti awam (UA) parah apabila motosikal yang ditunggangi bertembung dengan sebuah kenderaan di simpang tiga Persiaran Permai – Jalan Plumbum 7/98, Seksyen 7, di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Embol berkata, siasatan mendapati kemalangan yang berlaku jam 10.25 pagi membabitkan sebuah motosikal Modenas RS200 dan Proton Saga.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu oleh seorang lelaki berusia 53 tahun datang dari arah Persiaran Permai ingin ke Jalan Plumbum 7/98.
“Kemudian datang motosikal yang bergerak lurus di Persiaran Permai terlanggar di bahagian hadapan kereta itu.
“Penunggang dan pembonceng motosikal yang masing-masing berusia 22 tahun adalah penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam parah di kepala dan patah kaki, kini sedang menerima rawatan di Hospital Shah Alam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramsay berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Mana-mana saksi bebas atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.