KUALA LUMPUR: Dua pengikut wanita Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) akan didakwa di Mahkamah Klang esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bagi kes pertama, wanita berusia 44 tahun akan didakwa di Mahkamah Atip Klang mengikut Seksyen 14 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 (Akta 670).
Menurutnya, arahan pertuduhan diterima daripada Timbalan Pendakwa Raya pada 17 Oktober lalu dan suspek akan didakwa jam 9 pagi esok.
“Seorang lagi wanita berusia 54 tahun akan didakwa di Mahkamah Majistret Klang esok mengikut Seksyen 5(1) Akta Pusat Jagaan 1993.
“Arahan pertuduhan diterima daripada Timbalan Pendakwa Raya pada 15 Oktober lalu dan suspek akan didakwa jam 9 pagi esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek adalah tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.