SHAH ALAM: Dua pemilik syarikat direman dua hari kerana disyaki menggunakan dokumen perjanjian yang mengandungi butiran palsu bagi memperdaya dan mendapatkan wang pelaburan bernilai kira-kira RM200,000.
Ia dipercayai membabitkan kerja pembekalan pasir di sebuah daerah di negeri ini, sedangkan projek berkenaan tidak dilaksanakan.
Perintah reman hingga esok dikeluarkan Majistret Mohamad Syafiq Sulaiman selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi.
Semalam, dua suspek membabitkan seorang lelaki dan wanita berusia 40-an dipercayai ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor, kira-kira jam 3.30 petang.
Sumber berkata, kedua-dua suspek dipercayai secara bersama menggunakan dokumen mengandungi butiran palsu untuk memperdayakan dua ahli perniagaan, termasuk seorang bergelar Datuk, bagi projek pembekalan pasir pada 2022.
Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.