MUKAH: Dua lelaki maut, empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Selangau-Mukah, di sini, hari ini.
Dua lelaki yang terkorban adalah pemandu kenderaan 4WD, dikenali sebagai David Lau Pun Wei, 27, dan Linggam Ngabok 57.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika 4WD yang dipandu Linggam dengan turut dinaiki seorang penumpang sedang dalam perjalanan dari arah Selangau menuju ke Mukah sebelum bertembung dengan 4WD dari arah bertentangan.
“Impak pelanggaran cukup kuat sehingga menyebabkan kedua-dua kenderaan itu remuk di bahagian hadapan serta terperosok ke bahu jalan,” katanya.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias, berkata pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Selangau mengesahkan dua mangsa terbabit meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata, empat lagi mangsa cedera, termasuk dua patah kaki kanan dan tangan kanan.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Unit Forensik, Hospital Mukah, untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.