SUNGAI SIPUT: Dua pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Perlop, di sini, melarikan diri dari pusat berkenaan.
Kedua-dua mereka berusia 20-an itu dipercayai melarikan diri difahamkan ketika melakukan kerja di sebuah ladang berhampiran.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) 6.30 petang semalam.
Mohd Khaizam berkata, polis berperanan mengesan dan menjejaki mereka manakala tindakan susulan selepas itu akan diambil oleh AADK.
“Pelatih Puspen tidak dianggap sebagai banduan sebaliknya mereka adalah klien (pelanggan) atau ‘pesakit’ AADK.
“Justeru di pihak polis, kita hanya akan bantu AADK mengesan dan menjejaki mereka. Jadi, saya cuma boleh sahkan menerima laporan kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ditanya berkaitan dakwaan tular bahawa dua lelatih terbabit berbahaya kerana melarikan diri dengan bersenjatakan parang, Mohd Khaizam berkata, pihaknya difahamkan kedua-dua mereka melarikan diri sewaktu melakukan kerja luar di ladang di bawah pengawasan Puspen.
“Mengenai dakwaan mereka bersenjatakan parang, pada asasnya difahamkan mereka memang ada membawa parang dan beberapa perkakas lain untuk ke ladang berkenaan sebelum bertindak melarikan diri,” katanya.
Terdahulu, maklumat berkaitan kejadian dua penghuni itu melarikan diri dengan bersenjatakan parang, ditularkan melalui mesej di kumpulan WhatsApp sejak hari ini.- HARIAN METRO