KUALA LUMPUR: Dua pegawai kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) terkorban dalam serangan udara di Gaza, Palestin hari ini.
Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia, Datuk Sani Araby, berkata pihaknya amat berdukacita dengan pemergian As-Shaheed Shadi Afana dan As-Shaheed Saed Al-Ghafir.
“Berehatlah wahai sahabat-sahabat kami di syurga, kerana Allah lebih mengasihi kalian.
“Kedua-dua mangsa terkorban dalam satu serangan udara rejim (Zionis) yang berlaku di kawasan Hospital Al-Wafa di Gaza City, berhampiran kawasan Al-Saryia.
“Sejak 10 tahun lalu, mereka menjadi wakil MAPIM dan rakyat Malaysia dalam menyampaikan pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan kepada saudara kita di bumi Gaza,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Sani berkata, MAPIM mengutuk keras serangan itu dan menyifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan sehingga mengorbankan insan yang banyak membantu orang lain.
Katanya, pengorbanan kedua-dua Allahyarham berkenaan menggambarkan keikhlasan dan keberanian yang tidak ternilai dalam perjuangan menentang kezaliman ini.
“Hasbunallah wani’mal wakeel, kepada Allah jualah kami berserah, semoga Allah SWT menempatkan mereka di kalangan para Syuhada dan memberikan kedudukan tertinggi di Jannah Al-Firdaus.
“Al-Fatihah buat As-Shaheed Shadi Afana dan As-Shaheed Saed Al-Ghafir,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.