JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen (JIM) Johor menyelamatkan seorang kanak-kanak dan remaja bawah umur warga Filipina yang bekerja di sebuah kilang di Senai, di sini, dalam Ops Mahir, kelmarin.
Pengarah Imigresen Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, dalam operasi jam 6.54 petang itu, mangsa membabitkan masing-masing remaja lelaki berusia 13 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI).
Katanya, tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan maklumat yang diterima berkenaan sebuah kilang pembuatan barang yang menggaji pekerja asing yang disyaki tidak memiliki dokumen yang sah serta penyalahgunaan pas/permit.
“Hasil pemeriksaan dokumen perjalanan dan dokumen pengenalan diri terhadap 292 pekerja warga asing dan warga tempatan mengesan seorang kanak-kanak dan remaja bawah umur didapati bekerja di premis itu.
“Siasatan awal mendapati mereka telah diambil bekerja sejak tiga bulan lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Rusdi berkata, kedua-dua mangsa yang diselamatkan itu dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Pejabat Imigresen Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika, di sini untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, beliau berkata, seorang pegawai sumber manusia di kilang berkenaan yang berusia 44 tahun turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
“JIM Johor akan terus komited membanteras sindiket penyeludupan manusia dalam menguatkuasakan undang-undang demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
“Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.