Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 2 parah disyaki ditetak parang 11 lelaki bertopeng


SUBANG JAYA: Polis menahan enam individu disyaki terbabit serangan bersenjata di sebuah rumah di Jalan Bunga Melur, Batu 14, Puchong, di sini, dalam tempoh tidak sampai 24 jam, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pecah rumah itu jam pada 12.13 tengah malam menerusi panggilan MERS 999.

Katanya, siasatan awal mendapati seramai 11 lelaki memakai topeng dengan membawa beberapa bilah parang disyaki masuk ke rumah mangsa.

Rakaman CCTV tular menunjukkan suspek masuk menerusi pintu depan rumah di Jalan Bunga Melur, Batu 14, Puchong.

“Kumpulan penjenayah yang menaiki tiga kereta itu membuka pagar serta pintu rumah yang tidak berkunci dan kemudiannya terus berlari masuk ke dalam kediaman itu.

“Suspek menyerbu dua lelaki berusia 31 dan 38 tahun yang berada di ruang tamu rumah dan menetak mereka berkali-kali menggunakan parang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Fairus berkata semua suspek kemudiannya melarikan diri menaiki tiga kereta.

Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah pada bahu, badan, kaki, tangan serta beberapa bahagian badan yang lain akibat ditetak.

“Hasil siasatan mendapati suspek yang bertopeng muka dan bersenjatakan parang lebih kurang enam inci masuk ke dalam rumah melalui pintu hadapan yang tidak berkunci,” katanya.

Mohd Fairus berkata, kedua-dua mangsa sedang mendapatkan rawatan di Hospital Serdang dan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, gerakan memburu suspek selepas itu berjaya menahan enam lelaki berusia 23 hingga 28 tahun, jam 8 malam hari sama bagi membantu siasatan.

“Polis turut merampas sebilah parang disyaki digunakan suspek dalam kejadian itu. Tiada barang mangsa yang hilang. Punca dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Mohd Fairus berkata semua suspek yang ditangkap mempunyai rekod jenayah dan rekod narkotik lampau.

Katanya, semua suspek direman selama tiga hari sehingga Rabu ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 394/326 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini