JOHOR BAHRU: Polis menahan lelaki tempatan disyaki terbabit kes pemerdagangan dan penyeludupan orang, manakala dua warga China yang juga orang kurang upaya (OKU) berjaya diselamatkan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 67 tahun dibuat dalam Ops Pintas Mega Tip di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai semalam.
“Susulan tangkapan, pada hari sama, jam 11 malam, serbuan dilakukan di premis di Jalan Temenggong 3 kawasan perumahan sama dan berjaya menyelamatkan dua warga China masing-masing lelaki 39 tahun dan wanita 36 tahun.
“Mereka yang diselamatkan adalah OKU,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Balveer Singh berkata, pihaknya merampas satu telefon bimbit, satu kad pemandu Agensi Pengangkutan Awam Darat, sebuah Proton Wira, kunci kereta, alat kawalan jauh kereta, kunci rumah dan alat kawalan jauh rumah milik mangsa.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek berperanan sebagai penghantar bagi membawa mangsa mengemis di pasar malam dan kedai makan di sekitar Johor Bahru.
“Kegiatannya aktif sejak awal November lalu dengan hasil kutipan mencecah RM50 hingga RM150 sehari,” jelasnya.
Katanya, suspek direman lima hari bermula hari ini hingga 27 Disember dan permohonan perintah perlindungan (IPO) selama 21 hari dibuat ke atas mangsa di bawah Seksyen 44(2) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 12 Atipsom 2007,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.