@buletintv3Dua maut selepas treler yang sarat dengan muatan besi lusuh terbabas dan terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 42.1, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, berhampiran Bukit Tinggi, Bentong, malam tadi. #BuletinTV3 #trelerjatuhgaung #kemalanganmaut #bukittinggi #lpt1
Oleh: Fazli Ahmad
BENTONG: Dua maut selepas treler yang sarat dengan muatan besi lusuh terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter di Kilometer 42.1, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, berhampiran Bukit Tinggi, di sini, malam tadi.
Mayat pemandu ditemui tersepit di bahagian depan treler yang tertimbus dengan muatan besi, manakala mayat kelindan ditemui terbenam dalam tanah.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan tersebut pada jam 8:16 malam.
“Sembilan anggota yang diketuai oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Mohd Shafie Sulong, bergegas ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 8:49 malam.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah treler yang sarat dengan muatan besi lusuh telah terbabas ke dalam gaung.
“Bahagian depan kenderaan tersebut tertimbus oleh muatan besi lusuh, dan usaha mengesan pemandu serta kelindan dilakukan, termasuk menggunakan khidmat anjing pengesan.
“Kedua-dua mangsa ditemui tersepit dan tertimbus di bawah timbunan besi lusuh di bahagian depan treler,” katanya.
Menurutnya lagi, operasi mengeluarkan kedua-dua mayat dilakukan menggunakan peralatan menyelamat. Mangsa pertama berjaya dibawa keluar pada jam 7:50 pagi, manakala mangsa kedua pada jam 9:30 pagi.
Kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Bentong untuk proses bedah siasat.
Setakat ini, identiti kedua-dua mangsa masih belum dikenal pasti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.