Tumpuan :
Nasional

Dua beranak antara 3 maut, 4 lagi cedera nahas 3 kenderaan 

Keadaan lokasi kemalangan babit 3 kenderaan di Jalan Utama Jengka 3, berhampiran Kilang Sawit Jengka 3 di Maran, pagi tadi. – Foto BOMBA

MARAN: Seorang wanita dan anaknya maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Jalan Besar Jengka 3, di sini, yang turut menyebabkan empat cedera, termasuk dua parah, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.15 pagi membabitkan Perodua Alza, Myvi dan Toyota Avanza itu kerani sekolah, Noraini Ali, 42, bersama anak perempuannya, Aufa Medina Azuan, 7, selain pelajar, Nik Nurien Haziqah Nik Ibrahim, 13 meninggal dunia.

Noraini memandu Perodua Alza bersama Aufa Medina di kerusi penumpang hadapan, dikatakan dalam perjalanan dari arah bandar Jengka menghala bandar Maran sebelum dipercayai bertembung dengan Toyota Avanza yang datang dari arah bertentangan.

Kerani Sekolah Kebangsaan (SK) Jengka 3 itu dan Nik Nurien Haziqah, pelajar Sekolah Menengah (SMK) Jengka 2 yang duduk di kerusi penumpang hadapan Avanza, dilapor maut di tempat kejadian.

Aufa Medina pula meninggal di Klinik Kesihatan Jengka 2, manakala empat yang cedera membabitkan pemandu Myvi dan seorang penumpang Avanza dan dua lagi parah, iaitu pemandu dan seorang lagi penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber, berkata Avanza dipercayai terbabas ke laluan Alza sebelum Myvi dari arah bandar Jengka tidak sempat mengelak lalu melanggar Avanza yang melintang di tengah jalan.

“Mangsa yang cedera, guru berusia 34 tahun memandu Myvi dan seorang lagi pelajar SMK Jengka 2 berusia 13 tahun yang duduk di kerusi penumpang belakang Avanza. Mereka dirawat di Hospital Jengka.

“Seorang lagi penumpang kerusi belakang Avanza, juga pelajar SMK Jengka 2 berusia 13 tahun dan pemandu MPV itu berusia 28 tahun pula parah dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh,” katanya hari ini.

Beliau berkata, kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan polis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini