Tumpuan :
Nasional

2 maut, motosikal langgar belakang lori

FOTO: PDRM

TANAH MERAH: Dua lelaki termasuk seorang anggota tentera maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dengan lori di Jalan Gual Ipoh, dekat Kampung Batang Merbau di sini, semalam.

Dalam kemalangan pada jam 5.30 petang itu, penunggang, Muhammad Hafizul Abdullah Sani, 23, yang juga anggota tentera dan pembonceng, Muhammad Zulekhman Mokhtar, 22, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa menaiki motosikal jenis Yamaha 125ZR dari arah Batang Merbau menghala ke Gual Ipoh bertembung dengan sebuah lori di Kampung Tok Che Dol.

“Sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun yang berada di hadapan mangsa membelok untuk masuk ke simpang kanan.

“Mangsa dikatakan cuba memotong lori itu dan terlanggar bahagian belakang sebelah kanan lori yang menyebabkan Muhammad Hafizul tercampak dan terperosok di bawah lori, manakala Muhammad Zulekhman tercampak ke dalam semak di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu penunggang dan pembonceng motosikal yang cedera di bahagian kepala serta badan itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini