Tumpuan :
Nasional

2 maut, kancil bertembung lori treler

FOTO: JBPM

Oleh: Kadir Edison

MIRI: Dua individu maut selepas kenderaan jenis Perodua Kancil yang dinaiki terbabit dalam kemalangan bertembung dengan sebuah treler di Jalan Bukit Song, Lebuhraya Pan Borneo, di sini.

Dalam kejadian sekitar jam 7.20 malam itu, mangsa Patrick Guya, 48, dan Roslind Layun Pad, 61, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian sekitar jam 7.28 malam sebelum mengarahkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng bersama satu jentera ke lokasi kejadian.

FOTO: JBPM

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu Perodua Kancil dan treler, dengan dua mangsa masih tersepit di dalam kenderaan Kancil.

“Anggota terlibat kemudiannya bertindak menggunakan peralatan penyelamatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan KKM.

Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Punca kemalangan masih dalam siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini