Tumpuan :
Nasional

2 maut di Kluang: Motosikal masuk arah bertentangan, bergesel antara punca kemalangan

KLUANG: Isteri anggota tentera yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 84 Jalan Kota Tinggi-Kluang awal pagi tadi, digesel motosikal lain hingga menyebabkan motosikal ditunggang mangsa terbabas di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata mangsa, Nur Azreen Najwa Roslan, 25, mati akibat parah di bahagian kepala dan badan.

Katanya, Arif Zaidi Zainurrizam, 20, yang menunggang Yamaha 135LC dan memasuki laluan bertentangan, maut selepas bertembung Nissan Serena dipandu seorang guru lelaki berusia 48 tahun.

“Pada jam 1.13 pagi, polis terima makluman daripada orang awam berkaitan satu kemalangan melibatkan Nissan Serena dan empat motosikal di KM 84, Jalan Kota Tinggi – Kluang.

“Hasil siasatan awal di lokasi mendapati. kejadian berlaku jam 12.45 pagi, dengan Nissan Serena dari arah Kluang ke Kota Tinggi.

“Manakala empat motosikal lain termasuk ditunggang oleh dua yang maut berkenaan dari arah Kota Tinggi ke Kluang.

“Tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang Arif Zaidi telah masuk arah bertentangan lalu bertembung Nissan Serena.

“Manakala motosikal ditunggang Nur Azreen Najwa telah digesel oleh sebuah motosikal yang tidak dikenal pasti dan menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terbabas,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, selepas itu, sebuah motosikal yang tidak sempat mengelak kemudian melanggar motosikal mangsa.

“Sebuah lagi motosikal lain yang cuba mengelak lalu terbabas dan jatuh atas jalan,” katanya.

Katanya, akibatnya kedua penunggang itu cedera di anggota badan.

“Pemandu Nissan Serena tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini