Tumpuan :
Nasional

2 maut dalam nahas babit 3 kenderaan

Oleh: Fazli Ahmad

PEKAN: Dua termasuk seorang warga emas maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kuantan – Pekan dekat Kampung Mat Dulang, di sini, hari ini.

Mangsa yang maut, Azuwan Zainal Abidin, 35, dan Raja Mustafa Shah Raja Jalil Shah, 71.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata nahas berlaku kira-kira jam 11:05 pagi, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati nahas berlaku setelah pacuan empat roda dipandu Azuwan dari Pekan ke Kuantan terbabas ke lorong kanan dan bertembung dengan kereta dipandu Raja Mustafa Shah dalam perjalanan dari arah bertentangan.

Katanya, bahagian belakang kereta warga emas itu kemudian dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) juga dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Pekan.

“Akibat kemalangan itu pemandu pacuan empat roda serta warga emas terbabit parah dan kedua-dua mangsa meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Pekan,” katanya menerusi kenyataan media.

Menurut Mohd Zaidi, pemandu MPV berusia 25 tahun yang terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami kecederaan.

Katanya, punca sebenar kemalangan sedang disiasat.

Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini