Tumpuan :
Nasional

2 maut dalam kemalangan di Kluang

FOTO: Sumber Awam

KLUANG: Dua maut dalam kemalangan di Jalan Kota Tinggi berdekatan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini, awal pagi tadi.

Difahamkan, kemalangan membabitkan empat motosikal dan sebuah kereta, dengan dua mangsa maut menunggang motosikal berbeza.

Salah seorang yang maut adalah isteri seorang anggota tentera yang pulang ke rumah di kem tentera Batu 4, bagi mengambil keperluan anak lelakinya berusia setahun yang ditahan di wad kerana mengalami lecur akibat terkena air panas.

Menurut suami mangsa yang mahu dikenali sebagai Al Fatah berkata, sebelum itu, dia dan isteri, Nur Azreen Najwa Roslan, 25, serta anak bongsu mereka menaiki kereta milik rakannya untuk menghantar mereka ke HEBHK pada 12 tengah malam.

“Pada mulanya saya ingin membawa anak pulang tetapi doktor menasihatkan anak perlukan rawatan dan ditahan di wad.

“Kemudian isteri meminta rakannya mengambilnya dengan motosikal untuk pulang ke rumah kami di kuarters di kem Batu 4 untuk mengambil keperluan anak.

“Isteri menunggang motosikal bersendirian ke HEBHK dan saya cuba menelefonnya pada jam 1.30 pagi, namun terkejut kerana panggilan itu disambut pegawai polis yang memaklumkan isteri saya meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke Batu Kurau Perak untuk dikebumikan.

Dalam pada itu, pihak polis memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media mengenai kemalangan itu dalam masa terdekat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini