MARAN: Dua wanita maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas dan masuk ke dalam gaung sedalam kira-kira enam meter di Kilometer 152, Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) berhampiran FELDA Nerek, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pada jam 11.07 pagi itu, dua penumpang wanita dalam kereta sama mengalami kecederaan parah.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata kemalangan itu membabitkan kereta Nissan Almera dengan empat mangsa dalam kenderaan itu tersepit.
“Kereta dinaiki empat wanita itu terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira enam meter dengan keempat-empat mereka tersepit.
“Dua wanita disahkan maut di lokasi kejadian dan dua lagi parah dengan semua mangsa berjaya dikeluarkan daripada kereta itu,” katanya.
Beliau berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran menggunakan alat khas penyelamat untuk mengeluarkan semua mangsa terbabit.
“Operasi penyelamatan turut mendapat bantuan tujuh anggota BBP Temerloh. Mangsa yang cedera diserahkan kepada pegawai perubatan, manakala yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.