Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 2 loji rawatan air yang dihenti tugas akibat pencemaran akan segera dipulihkan

 

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memberi jaminan dua loji rawatan air (LRA) yang dihenti tugas akibat pencemaran, sehingga mengakibatkan gangguan bekalan air, akan dipulihkan secepat mungkin untuk kembalikan keadaan seperti sediakala.

Beliau juga menghubungi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari yang menyatakan komitmen agar segala kerja pemulihan dijalankan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat.

“Proses rawatan dan pemulihan sedang dijalankan. Saya sudahpun berhubung dengan Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari yang mengesahkan kerajaan negeri Selangor dan pihak Air Selangor sedang melakukan yang terbaik.

“Keselesaan pengguna air adalah keutamaan,”.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Terdahulu, EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian, mengesahkan pati minyak wangi menjadi punca henti tugas membabitkan LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi, pada awal pagi tadi.

Loy Sian memaklumkan, pati minyak wangi yang dibawa lori kontena dengan muatan 20 tan, terbabit kemalangan sehingga bahan itu mengalir masuk melalui sempadan ke Sungai Limau Manis, seterusnya ke Sungai Semenyih, Selangor.

Atas sebab itu, henti tugas sementara LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi perlu dilakukan sehingga sebanyak 472 kawasan di Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat berdepan gangguan bekalan air.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan hari ini, gangguan bekalan air berpunca pencemaran yang dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir di bawah seliaannya.

Loading...
Terkini