Tumpuan :
Mahkamah

2 lelaki warga Indonesia tidak mengaku dagang senjata api

Dua lelaki warga Indonesia, Zulkarnaini A Rahman dan Husaini diiringi polis atas kesalahan secara bersama berdagang senjata api dituduh di Mahkamah Butterworth. FOTO: NSTP

BUTTERWORTH: Dua lelaki warga Indonesia yang ditahan berkaitan rampasan beberapa pucuk pistol serta ratusan peluru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memperdagangkan senjata api, bulan lalu.

Tertuduh, Zulkarnaini A Rahman, 44, dan Husaini, 22, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Indonesia terhadap mereka di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka secara bersama telah berdagang senjata api iaitu empat pucuk pistol jenama ‘Glock’, ‘Sig Sauer’ serta ‘Smith& Wesson’ dan laras senjata raifal M4 ‘Carbine Caliber’.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kedudukan latitud 05.3655830N longitud 100.362722015 perairan laut Perai dalam daerah Seberang Perai Tengah, jam 3.10 petang, pada 27 Januari lalu.

Bagi kesalahan terbabit, mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dari 30 tahun dan tidak lebih dari 40 tahun serta enam kali sebatan.

Sementara itu, di mahkamah sama, Zulkarnaini turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenama ‘Sig Sauer’ di lokasi dan masa sama.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Ashiqeen Mohd Sultan.

Semasa prosiding, tiada sebarang jaminan ditawarkan pihak pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh susulan kesalahan terbabit tidak dibenarkan ikat jamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi kedua-dua pertuduhan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini