Tumpuan :
Nasional

2 lelaki lepas ular sawa dalam longkang ditahan, tiada dokumen pemilikan sah

Tangkap layar video tular

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang disyaki melepaskan tiga ular sawa dalam longkang di Jalan Persiaran Putra Permai, Putra Heights, Subang Jaya, ditahan Jabatan Perhilitan semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 35 dan 53 tahun terbabit ditahan di sebuah rumah dekat kawasan kejadian.

Jabatan Perhilitan Selangor dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima aduan daripada polis susulan laporan dibuat orang awam mengenai tindakan dua lelaki dan seorang wanita yang didakwa melepaskan tiga ekor ular di kawasan perumahan berkenaan.

“Bertindak atas aduan, Jabatan Perhilitan Selangor menemubual dan menjalankan pemeriksaan ke atas kediaman individu yang disyaki terbabit pelepasan ular.

“Seekor ular sawa batik yang masih hidup turut ditemui hasil pemeriksaan di kediaman suspek dengan bantuan anggota dari Balai Polis Putra Height,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan, hasil siasatan suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan yang sah bagi ular sawa itu.

Berikutan itu, katanya, kedua-dua suspek ditahan kerana kesalahan pemilikan hidupan liar tanpa lesen sah mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan,” katanya.

Jabatan Perhilitan turut menasihati orang ramai untuk berhati-hati sekiranya terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri.

Katanya, sebarang aduan serta maklumat berkaitan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui Talian Hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di www.wildlife.gov.my.

Terdahulu, media melaporkan, penduduk sebuah pangsapuri di Jalan Persiaran Putra Permai, Putra Heights, gempar selepas tular rakaman video tiga ular sawa dilepaskan di dalam longkang di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 5.52 petang pada 3 Februari lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini