Tumpuan :
Nasional

2 lelaki hilang di perairan Kuala Sungai Pahang ditemui selamat

Foto tular

BALIK PULAU: Dua rakan yang dilapor hilang selepas bot yang dinaiki hanyut di perairan Kuala Sungai Pinang, di sini, Selasa lalu, ditemui selamat.

Penemuan Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, serta rakannya Nor Hasrul Abdullah, 25, itu disahkan oleh Ismail Ibrahim, 51, iaitu bapa seorang daripada mangsa.

Katanya, dia menerima maklumat berhubung penemuan anaknya yang juga berstatus orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran itu kira-kira jam 10 pagi.

“Terdahulu saya terima panggilan dari pihak polis berhubung penemuan sebelum dimaklumkan oleh pengerusi kariah masjid.

“Mereka dikatakan diselamatkan oleh nelayan di Acheh, Indonesia dan kini dalam keadaan selamat.

“Saya belum dapat berhubung dengan Hakimi namun menerusi gambar yang diterima, keadaannya dilihat baik-baik saja cuma kulitnya agak gelap,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.

Ismail berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada semua agensi terbabit termasuk rakan nelayan yang membantu dalam operasi pencarian dan penyelamatan (SAR).

“Saya belum pasti bila mereka akan bawa kedua-duanya pulang dan masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang menguruskan bagi mengambil kedua-dua mangsa di sempadan.

“Bot APMM dijangka mengambil sedikit masa bagi tiba di sempadan.

“Kedua-dua mangsa dijangka tiba ke Batu Maung, di sini, kira-kira 3 pagi,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan mengenai kehilangan dua lelaki berkenaan selepas bot yang dinaiki mereka hanyut di perairan Kuala Sungai Pinang, di sini, kira-kira jam 11.30 malam.

Operasi SAR yang masuk hari kelima dihentikan semalam selepas tidak menemukan sebarang petunjuk.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini