Tumpuan :
Nasional

2 lelaki ditahan terbabit kegiatan curi motosikal

IPOH: Polis menumpaskan kumpulan curi dan lerai motosikal dikenali sebagai ‘Geng Kulup’ selepas memberkas dua lelaki di Simpang Pulai, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands menerima dua laporan berkaitan kecurian dua motosikal jenis Honda EX5 di Kuala Terla, Kampung Raja, di sini, Rabu lalu.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Cameron Highlands melakukan dua siri tangkapan menerusi Op Lejang terhadap dua suspek berusia awal 20-an di Simpang Pulai pada semalam dan hari ini.

“Kumpulan ini dikenali sebagai ‘Geng Kulup’ yang aktif dalam kegiatan mencuri motosikal. Hasil risikan dan siasatan terhadap dua lelaki yang ditangkap itu juga membawa kepada penemuan dua enjin dan rangka motosikal yang sudah dileraikan.

“Enjin dan rangka motosikal yang sudah dileraikan itu disembunyikan dalam semak di kawasan Simpang Pulai. Semua barang kes dirampas dan dibawa ke IPD Cameron Highlands untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, soal siasat mendapati suspek yang ditahan mengaku mencuri motosikal bersama seorang lagi rakan yang masih bebas.

Beliau berkata, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.

“Polis memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat jenayah dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Cameron Highlands di talian 05-4915999 atau ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini