comscore
Tumpuan :
Nasional

2 lelaki ditahan lakukan khianat guna mercun, wanita rugi setengah juta ringgit

Keadaan rumah yang terbakar akibat khianat dengan api menggunakan mercun di Taman Putri, Kulai malam kelmarin. – FOTO: NSTP/ Ihsan Polis

KULAI: Dua lelaki masing-masing warga tempatan dan warga asing ditahan polis apabila disyaki melakukan khianat menggunakan mercun sehingga mengakibatkan kediaman seorang wanita di Jalan Sri Putri 12/0, Taman Putri di sini terbakar dan mengalami kerugian sebanyak RM510,000, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tan Seng Lee berkata, mangsa berusia 41 tahun membuat laporan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pukul 9.56 malam hari kejadian.

Katanya, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian berlaku disebabkan perbuatan khianat dengan menggunakan mercun.

“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai membuat tangkapan seorang lelaki tempatan, 30 tahun dan seorang lelaki warga asing, 23 tahun.

Keadaan rumah yang terbakar akibat khianat dengan api menggunakan mercun di Taman Putri, Kulai malam kelmarin. – FOTO: NSTP/ Ihsan Polis

“Pihak polis turut merampas pelbagai jenis mercun. Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek warga asing itu positif dadah jenis ganja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Seng Lee, kedua suspek direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 6 November ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan.

“Polis Daerah Kulai menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan tidak bermain mercun yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Mohd Roizani Rosdi berkata, kebakaran tersebut memusnahkan 70 peratus rumah mangsa.

Katany, turut musnah dalam kebakaran itu lima buah kereta iaitu sebuah Proton Wira dan Toyota Corolla masing-masing mengalami kerosakan sebanyak 50 peratus.

“Tiga buah kereta lain musnah hampir keseluruhannya. Operasi ini melibatkan 10 anggota dengan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini