Tumpuan :
Nasional

Cubaan seludup keluar lebih 4,000 labi-labi muncung babi tumpas

Antara labi-labi yang dimuatkan ke dalam bekas plastik kecil sebelum diletakkan ke dalam bagasi untuk dibawa keluar dari Malaysia. Foto FB/Jabatan PERHILITAN

KUALA LUMPUR: Cubaan menyeludup sebanyak 4,386 ekor hidupan liar disyaki labi-labi Muncung Babi tumpas selepas dua individu berjaya ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dengan kerjasama Polis Bantuan
Lapangan Terbang (AVSEC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Selasa lepas.

Jabatan PERHILITAN dalam satu kenyataan memberitahu, labi-labi muncung babi (pig-nosed turtle) atau nama saintifiknya carettochelys insculpta itu disimpan di dalam bekas-bekas plastik kecil sebelum dimuatkan ke dalam tujuh buah bagasi.

“Jabatan PERHILITAN telah membuat pemeriksaan ke atas dua penumpang pesawat yang akan menaiki penerbangan Kuala Lumpur ke Hanoi.

“Hasil soal siasat mendapati mereka gagal menunjukkan dokumen yang sah daripada Jabatan PERHILITAN untuk membawa keluar hidupan liar tersebut dari Malaysia. Semua hidupan liar tersebut telah disita dan nilai sitaan kes dianggarkan sebanyak RM 1,754,000.00,” katanya.

Membawa keluar spesies hidupan liar yang dilindungi dari Malaysia tanpa dokumen yang sah adalah menjadi kesalahan di bawah Sekyen 65, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Sekyen 10, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).

Kes tersebut akan disiasat di bawah kedua-dua akta berkenaan dan Jabatan PERHILITAN pada masa yang sama memberi amaran kepada mana-mana individu yang menyimpan atau menjalankan aktiviti jenayah hidupan liar agar menghentikan aktiviti terbabit atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas.

Jabatan PERHILITAN juga mengharapkan orang ramai akan terus memberikan sokongan dan membantu dengan menjadi mata dan telinga dengan melalui penyaluran maklumat dalam usaha memerangi jenayah hidupan liar.

Maklumat boleh disalurkan melalui talian Hotline PERHILITAN 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Loading...
Terkini