TANAH MERAH: Dua lelaki yang disyaki memasuki negara ini secara haram ditahan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam operasi berasingan berdekatan Sungai Golok di sini.
Dalam operasi itu, seorang lelaki warga Thailand berusia 32 tahun dan lelaki tempatan berumur 36 tahun masing-masing ditahan jam 10 pagi dan 3.45 petang semalam.
Dua Divisyen TDM dalam satu kenyataan berkata, lelaki warga tempatan itu juga mengacukan sebilah pisau yang mempunyai hulu berbentuk ‘buku lima’ ke arah pasukan keselamatan sebelum ditahan.
Pada masa sama, katanya, pasukan operasi turut menerima provokasi berbentuk kata-kata ugutan yang dilaungkan dari arah tebing Sungai Golok di sebelah Thailand oleh beberapa orang awam yang disyaki rakan kepada lelaki itu.
“Tindakan provokasi dan ugutan berkenaan bertujuan menakut-nakutkan dan melemahkan semangat anggota pasukan operasi yang dalam usaha mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.
“Lelaki itu diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, jarak lokasi kedua-dua tahanan itu lebih kurang 320 meter.
Katanya, lelaki warga Thailand gagal membuktikan sebarang dokumen pengenalan diri dan diserahkan ke IPD Jeli untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63.
“Pasukan operasi akan terus mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd),” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.