Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 2 lelaki diberkas dipercayai cuba lupuskan sisa toksik di ladang sawit di Kluang

Oleh: Zahir SenapiahKLUANG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor memberkas dua lelaki dipercayai cuba melupuskan sisa toksik industri di Kampung Sri Timur, Jalan Kahang dekat sini, Khamis lalu.

Mereka diberkas oleh pasukan penguatkuasa JAS dengan kerjasama kakitangan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor dalam serbuan ke atas sebuah tapak pembuangan haram dalam sebuah ladang sawit.

Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd Famey Yusoff berkata pihaknya menerima aduan orang ramai mengenai kegiatan itu pada 8 Jun lalu.

Bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai penguatkuasa JAS menyerbu tapak berkenaan kira-kira jam 9.45 malam pada hari yang sama.

Dr Mohd Famey bersama pegawainya meninjau tapak pelupusan toksik haram di sebuah ladang sawit di Kluang, pagi tadi.

Hasilnya, dua lelaki masing-masing berumur 20 dan 30 tahun yang juga pemandu dan kelindan sebuah lori ditahan ketika keluar dari tapak pelupusan berkenaan.

Sebuah lori yang digunakan oleh kedua-dua suspek disita untuk siasatan lanjut.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati bahan buangan terjadual itu diambil dari kilang sekitar Kluang sebelum ditempatkan sementara di sebuah stor yang terletak kira-kira 10 kilometer daripada tapak haram berkenaan.

Bahan larangan yang diisi dalam tong kemudian di bawa ke tapak pelupusan yang berkeluasan seribu 800 meter persegi untuk dilupuskan.

Kegiatan itu dipercayai bermula sejak tiga hingga empat minggu yang lalu.

“Siasatan awal, kita dapati terdapatnya minyak terpakai kemungkinan minyak parolisis.

Kemudian kita lihat juga ada bahan buangan slut, tar, cat dan pelbagai jenis bahan buangan berjadual,” katanya.

Tambahnya, semua bahan buangan itu mempunyai karateristik berbahaya dan bertoksik serta tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling.

Ujar Dr. Mohd Famey lagi, pihaknya telah mengambil sembilan sampel bahan buangan itu untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisa.

Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 18 Kurungan 1-A dan 34-B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Turut disiasat, status tanah tapak pelupusan haram berkenaan.

Kedua-dua suspek direman enam hari hingga Rabu depan bagi membantu siasatan

Loading...
Terkini