KOTA TINGGI: Jalan Kota Tinggi-Sungai Rengit, berhampiran Simpang Sungai Mas dan Jalan Bandar Penawar-Tanjung Balau, berhampiran Ladang Siang, di sini, ditutup kepada kenderaan ringan susulan digenangi banjir akibat hujan lebat sejak pagi tadi.
Penutupan itu dimaklumkan Polis Daerah Kota Tinggi menerusi akaun Facebook petang ini berikutan air yang semakin tinggi di samping arus yang laju.
Orang ramai dinasihatkan mengunakan laluan alternatif lain dan tidak bertindak meredah air banjir bagi mengelak sebarang risiko.
Menurut akaun Facebook Polis Daerah Kota Tinggi, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti membuat kawalan lalu lintas di kedua-dua laluan berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga.
“Jalan Kota Tinggi-Sungai Rengit dan Jalan Bandar Penawar-Tanjung Balau ditutup bagi kegunaan semua jenis kenderaan ringan.
“Laluan berkenaan hanya dibuka bagi kegunaan kenderaan berat sahaja buat sementara waktu.
“Kenderaan ringan dinasihatkan mengunakan jalan alternatif laluan Bandar Mas-Lok Heng melalui FELDA Sungai Mas.
“Penguna jalan raya yang memasuki laluan Bandar Penawar-Tanjung Balau dari persimpangan lampu isyarat E22 pula akan dilencongkan keluar melalui Jalan Kenanga, Taman Sri Penawar,” katanya.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan tahap berterusan tahap bahaya di seluruh negeri Johor membabitkan semua 10 daerah, sejak pagi tadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.