comscore
Tumpuan :
Nasional

2 lagi individu ditahan kes penipuan pelaburan i-Serve

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Dua lagi individu termasuk salah seorang pengasas syarikat i-Serve Payment Gateway Sdn Bhd ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang, awal pagi tadi.

Tangkapan itu bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pelaburan i-Serve melibatkan seorang individu bergelar ‘Datuk’ yang mempunyai saham dalam sebuah syarikat penerbangan tambang murah bermasalah.

​​​​​​​
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki berusia 58 tahun itu ditahan di pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), jam 3.30 pagi.

“Hasil soal siasat awal mendapati suspek mula berkenalan dan berkawan dengan pengasas sebuah syarikat tambang murah pada 1995 serta mengakui menubuhkan syarikat i-Serve Payment Gateway Sdn Bhd pada 2019.

“Suspek juga mengaku berperanan sebagai pengarah di beberapa anak syarikat di bawah i-Serve Payment Gateway Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihak polis turut menahan seorang suspek wanita berusia 57 tahun dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Sentul di sini, jam 4.15 pagi tadi.

Ramli berkata, polis turut merampas telefon bimbit dan pasport kedua-dua suspek serta kereta jenis Mercedes milik suspek kedua.

“Soal siasat suspek kedua mendapati dia pekerja swasta di sebuah syarikat insuran dan tidak mengaku pembabitannya dalam kes yang sedang disiasat.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini, pagi ini untuk permohonan reman,” katanya.

Polis dilapor sudah menerima 67 laporan berkaitan pelaburan i-Serve membabitkan jumlah kerugian lebih RM81.6 juta.

Sebelum ini, seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ ditahan bersama isteri dan anaknya mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 bagi membantu siasatan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini