Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Seekor lagi kucing menjadi mangsa serangan anjing liar di Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini, dengan kes terbaharu berlaku petang tadi.
Buletin TV3 yang sedang membuat penggambaran di UM hari ini dimaklumkan warga universiti itu sekitar jam 3.30 petang tadi.
Menurut pengadu, dia mendakwa melihat sekumpulan anjing telah menyerang seekor kucing di sebuah fakulti berdekatan bangunan Perpustakaan UM.
Gambar yang dirakam pada jam 3.24 petang itu, turut kelihatan anjing sedang menggonggong bangkai kucing berkenaan.
Setakat ini, Buletin TV3 masih menunggu pengesahan daripada pihak pengurusan UM.
Terdahulu polis menerima satu aduan serangan sekumpulan anjing liar ke atas seekor kucing yang berlaku di UM di sini, hari ini.
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 4, 2025
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, aduan diterima daripada seorang penuntut wanita universiti terbabit pada jam 3.02 pagi di Balai Polis Pantai.
Katanya, pengadu bersama beberapa rakan melihat beberapa ekor anjing menggigit seekor kucing di sebuah kawasan parkir dalam kampus universiti terbabit.
“Pengadu bersama rakan-rakannya menghalau kumpulan anjing berkenaan sebelum mendekati kucing itu dan mendapati ia telah mati.
“Pengadu kemudiannya menanam bangkai kucing itu dan membuat laporan polis untuk merujuk kejadian kepada pihak UM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ku Mashariman berkata, polis tidak menjalankan siasatan berhubung kejadian itu kerana kematian kucing itu adalah disebabkan perbuatan anjing liar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.