Tumpuan :
Nasional

2 kucing mati dalam keadaan sadis disebabkan serangan anjing, bukan penderaan

KUALA LUMPUR: Bukan mangsa penderaan, sebaliknya kematian mengerikan dua kucing yang putus kesemua kaki dan terbelah perut di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, di sini, adalah akibat serangan anjing liar.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihak Balai Polis Pantai menerima laporan berhubung kejadian membabitkan dua kucing itu pada jam 6.20 petang, semalam.

“Siasatan sudah dijalankan dan mendapati kematian kucing itu adalah disebabkan oleh serangan anjing-anjing liar di kawasan itu.

“Laporan polis sudah dirujuk kepada Jabatan Veterinar dan pihak Pengurusan Universiti Malaya untuk tindakan susulan,” katanya.

Kelmarin, Kesatuan Pelajar Universiti Malaya Fakulti Perniagaan dan Ekonomi (KMUM FPE) melalui wakilnya, Vincent Ng dan Kaven Khoo membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Pihak polis juga sudah berhubung dengan pasukan veterinar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dihantar ke fakulti berkenaan pada jam 4 petang semalam untuk pemeriksaan,” katanya.

KMUM FPE dalam kenyataan di Facebook berkata, laporan itu adalah langkah ke arah memastikan kebajikan semua pelajar dan menggesa semua pengurusan kampus mengambil serius perkara itu.

Media sebelum ini melaporkan rasa tidak puas hati warganet berhubung kejadian pembunuhan dua ekor kucing yang dikaitkan dengan perbuatan dera.

Kejadian berlaku di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, di sini, dan perkongsian itu turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

KMUM FPE dilaporkan berkata, pihaknya amat terkejut serta sedih dengan kes penderaan kucing yang berlaku pada 12 Disember dan 16 Disember lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini