ALOR GAJAH: Waris dua keluarga melibatkan lapan mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh Batang Kali pada 16 Disember lalu, hari ini menerima bantuan RM80,000.
Sumbangan kepada waris dua keluarga itu disampaikan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin di Kampung Machap Baru, Alor Gajah Melaka.
Datuk Seri Shamsul Iskandar turut meluangkan masa lebih sejam menziarahi upacara keagamaan semua mangsa.
Beliau yang ditemui media selepas majlis sumbangan itu berkata, bantuan RM10,000 diserahkan kepada setiap mangsa yang meninggal dunia seperti diumumkan Perdana Menteri sebelum ini.
Datuk Seri Shamsul berkata sumbangan daripada Perdana Menteri dapat meringankan beban buat keluarga dan mangsa yang terlibat.
“Walaupun ini merupakan ujian yang besar bagi mereka tetapi kita harapkan sedikit sumbangan daripada Perdana Menteri dan kerajaan dapat meringankan beban terutamanya kesedihan mereka di atas pemergian amat menyedihkan,” katanya.
Pada majlis berkenaan, Datuk Seri Shamsul Iskandar menziarahi Lai Hua Kiong, 53 tahun, yang kehilangan anak lelakinya, Lai Chee Sam dan menantu, Lai See Tin, masing-masing 33 tahun, serta sepasang cucunya, Giselle Lai Yu Xi, 6 tahun dan Jonas Lai Ze Kai, 2 tahun dalam tragedi yang mengorbankan 31 nyawa itu.
Beliau kemudian bertemu ibu dan bapa empat sekeluarga lain yang terkorban iaitu Yu Siew Pay, 34 tahun dan suaminya Tai Chang Lin, 35 tahun serta dua anak mereka Tai Jing Key, 7 tahun, dan Tai Jing Rou, 4 tahun yang merupakan kenalan rapat keluarga Lai.
Dalam pada itu, Datuk Seri Shamsul Iskandar berkata, Perdana Menteri menyanjung tinggi pengorbanan lebih 250 pegawai dan anggota pelbagai agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi menyayat hati itu.